Ejen Zakat Kepada Koperasi

FedKew berperanan sebagai ejen zakat kepada koperasi dengan menyediakan kemudahan untuk urusan pembayaran zakat. Peranan ini membantu koperasi menunaikan kewajipan zakat dengan lebih mudah, telus dan teratur, di samping memastikan manfaat zakat dapat disalurkan dengan berkesan kepada golongan yang berhak.

“Ambillah zakat dari sebahagian harta mereka, dengan zakat itu kamu membersihkan dan mensucikan mereka, dan berdoalah untuk mereka. Sesungguhnya doa kamu itu (menjadi) ketenteraman jiwa bagi mereka. Dan Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.”

Surah At-Taubah, ayat 103

Apa Maksud Lantikan Ini?

  1. Peranan sebagai ejen rasmi zakat
    FedKew diberi mandat oleh PPZ-MAIWP untuk menjadi ejen sah dalam mengutip zakat bagi pihak mereka. Ini bermaksud ahli-ahli koperasi, pelanggan, dan masyarakat boleh menunaikan zakat melalui FedKew.
  2. Meningkatkan kredibiliti organisasi
    Pelantikan ini menunjukkan pengiktirafan terhadap kebolehan dan reputasi FedKew untuk menguruskan amanah kewangan umat Islam dengan telus dan berintegriti.
  3. Meluaskan jaringan perkhidmatan
    Selain aktiviti perniagaan sedia ada, FedKew kini berperanan dalam sektor kebajikan dan pembangunan ummah melalui kutipan zakat.
  4. Tempoh sah lantikan
    Ditetapkan dari 1 Ogos 2025 hingga 31 Oktober 2027, iaitu selama lebih kurang 2 tahun 3 bulan.

Wakalah merupakan dasar pengembalian wang zakat oleh Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan kepada entiti yang membayar zakat di Pusat Pungutan Zakat-MAIWP untuk diagihkan kepada asnaf yang layak.

Kenapa Ada Zakat Wakalah?

  • Biasanya, zakat dibayar kepada pusat zakat/majlis agama Islam negeri/ejen.
  • Tetapi, pusat zakat boleh memberi kebenaran (wakalah) kepada individu, syarikat atau organisasi tertentu untuk mengagihkan semula sebahagian zakat terus kepada golongan asnaf.
  • Tujuannya supaya agihan lebih cepat, dekat dengan komuniti, dan menepati keperluan asnaf yang dikenali oleh pembayar.

Bagaimana Prosesnya?

  1. Pembayar serahkan zakat kepada pusat zakat/ejen.
  2. Pusat zakat keluarkan resit rasmi.
  3. Sebahagian (contohnya 37.5% atau ikut garis panduan negeri) boleh dipulangkan semula kepada pembayar dalam bentuk wakalah.
  4. Pembayar jadi wakil untuk salurkan terus zakat kepada asnaf yang layak.

Kadar Pengembalian Semula

Individu

Kriteria

  1. Individu yang membuat bayaran zakat pendapatan, layak memohon zakat wakalah daripada FEDKEW.
  2. Individu yang membuat bayaran zakat sebanyak RM10,000.00 hingga RM999,999.99, koperasi tersebut layak menerima 37.5% zakat wakalah.
  3. Manakala bagi koperasi yang membayar zakat melebihi RM1,000,000.00 setahun koperasi tersebut layak menerima 50% zakat wakalah.

Syarikat atau Organisasi

Kriteria

  1. Syarikat atau koperasi yang membuat bayaran zakat perniagaan, layak memohon zakat wakalah daripada FEDKEW.
  2. Koperasi yang membuat bayaran zakat sebanyak RM10,000.00 hingga RM999,999.99, koperasi tersebut layak menerima 37.5% zakat wakalah.
  3. Manakala bagi koperasi yang membayar zakat melebihi RM1,000,000.00 setahun koperasi tersebut layak menerima 50% zakat wakalah.

Sumber rujukan : https://www.zakat.com.my/info-zakat/wakalah/